KONSEP PIN
PIN ialah sebuah pelan induk yang bertujuan memberikan hala
tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara.
PIN juga memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan masyarakat dan negara
dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika,
sekaligus negara yang berintegriti. PIN merupakan suatu gagasan yang dicetuskan
oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan
wilayah. Kerjasama antara semua pihak ini menjadi kekuatan bagi mengubah atau
menambahbaik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya. Pendekatan PIN
ialah mengkoordinasikan usaha semua komponen dan sektor dalam gerakan
pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan institusi governan negara
iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya meningkatkan integriti
mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta
melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan. PIN
juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakat supaya
merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi
pelaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan
dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti seluruh masyarakat dan
negara.
OBJEKTIF UMUM
Objektif umum PIN ialah untuk merealisasikan hasrat Wawasan
2020, iaitu menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri dengan “membentuk
sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya
mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi
pekerti yang luhur.'
OBJEKTIF KHUSUS
Objektif khusus PIN adalah seperti berikut:
1. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya
mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu
padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai
sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya
masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;
3. Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan
anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang
menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;
4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat
dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam
usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih
berkesan.
KESIMPULAN
Penghayatan dan penterjemahan falsafah, prinsip dan objektif
PIN oleh pelbagai sektor masyarakat dan negara sudah pasti akan menjadi suatu
kekuatan yang ampuh bagi mengubah wajah masyarakat dan negara Malaysia.
Kekuatan ini juga akan membolehkan Malaysia menangani cabaran baru abad ke-21
dengan lebih berkesan. Kesemua ini akan menyumbang kepada pencapaian cita-cita
menjadi masyarakat maju mengikut acuan sendiri.
PENJELASAN
Nilai, Etika dan
Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu
diperjelaskan.
1. Etika Individu
Etika individu ialah
himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara
yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh
dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara
perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan
sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.
2. Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika
organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu
berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus,
bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai,
maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.
INTEGRITI
Integriti secara
umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada
individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah
berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
1. Integriti Individu
Integriti individu
ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang
dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan
undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan
umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila
dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai
segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan
tidak berintegriti atau lemah integritinya.
3. Integriti Penjawat Awam
Bagi individu yang
memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud
melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan
umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk
kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila
berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan
kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus,
harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan
kepada pihak lain.Sumber: Pelan Integriti Nasional
No comments:
Post a Comment